Diri ini lah yang setiap harinya masuk ke bilik disiplin kerana kes.
Diri ini lah yang hampir setiap minggu dipanggil ke depan perhimpunan untuk disebat.
Diri ini lah yang berlagak samseng, bagai semuanya milik dia.
Diri ini lah yang sangat jauh hanyut dari jalan Allah.
Diri ini lah yang sangat pantang dicabar kerana darah muda.
Diri ini lah yang sentiasa melawan guru, membuli si adik baru belajar mengenal dunia.
Diri ini lah yang mensia-siakan peluang belajar ilmu Allah.
Sekolah agama tidak menjadikan pelajarnya memahami agama.
Sekolah sama sekali tidak bersalah, yang salahnya adalah isi kepada sekolah tersebut.
Keras hati untuk mengenal Allah, gelap hati untuk mengenal agama, gelap hati untuk menuai ilmu ilmu akhirat.
Tapi Allah masih sayang.
Hari ini,
Masih berdiri di hadapan para manusia, tetapi sebagai pemimpin, walaupun dalam kelompok yang kecil.
Sedang mengenal diri, mengenal Allah sedikit demi sedikit.
Mencari ilmu di perantauan. Hidup yang penuh cabaran dan dugaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kehebatan dulu ternyata tidak memberikan apa apa kelebihan kepada diri ini.
Tapi Alhamdulillah ia memberikan seribu pengajaran yang sangat kuat.
Pengalaman mendewasakan, walaupun ia pengalaman pahit, pengalaman pahit itu yang memberikan diri ini makna untuk hidup sebenar.
Hidayah Allah, mungkin kerana hanyut lebih awal, menyebabkan sedar lebih awal.
Walau teruk macam mana pun diri ini dulu, kita sentiasa boleh mula dengan kosong.
Mungkin bukan pada mata manusia, yang hanya tahu menilai tanpa memahami, menghakimi tanpa menyelami.
Mereka tidak pernah berada di tempat kita, bahkan tiada siapa pun yang pernah berada di tempat kita, memahami situasi kita, apa yang kita alami, apa yang kita rasa. Itu rahsia kita dengan Sang Pencipta.
Pada sisi Allah kita sentiasa boleh bermula dengan kosong, tidak pernah terlambat.
Dia lah yang Maha Memahami, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui di atas segala sesuatu yang terjadi.
Dia lah yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf, Maha Menerima taubat insani.
Semoga diri ini sentiasa tawaduk dalam mencari dan mengenal Tuhan.
No comments:
Post a Comment