Monday, February 29, 2016

PERASAAN


Perasaan tu, sesuatu benda yang halus. Tak kira bagaimana hebat sekalipun orang lain mentafsir perasaan tu, rahsia di dalam rahsia perasaan tu tidak akan pernah terzahir. Perasaan yang membelenggu hati, menjerut usus, membutakan mata, menumpulkan kotak fikir, empunya badan sahajalah yang memahami, yang mengetahui apa disebalik perasaan seorang yang namanya manusia yang mempunyai perasaan, memiliki hati. Isi sebenarnya tidak akan pernah terzahir, tidak akan sepenuhnya dapat dibaca oleh minda, di amati oleh mata.

Penat, sangat penat bermain dengan perasaan, bila ingin meluahkan, mahukan sesuatu, tetapi ada satu benda, tenaga yang menghalang, membantut keinginan, menolak dengan keras segala aura memberontak, menongkah tenaga yang mahu bebas, yang mengalir dari saraf, membelengu perasaan.
Bila mana keinginan untuk melontar kata membuak-buak, tapi tidak terdaya.
Bila mana keinginan untuk meluah perasaan sangat kuat, tapi tidak kesampaian.
Bila mana keinginan untuk berterus terang sangat hebat, tapi keinginan sahaja tidak cukup tanpa keberanian. Perasaan yang sangat menyeksa jiwa. 

Sebagai manusia, kehadiran elemen pelik ini tidak pernah salah, sudah menjadi sifat manusia, ingin mencari, mendapatkan sesuatu yang menenangkan. Sifat ingin mengetahui, mencari sinar itu ada dalam diri semua manusia. Setiap yang namanya manusia itu takut akan sesuatu, pernah menyayangi sesuatu dan pernah kehilangan sesuatu dalam hidup mereka. Takut untuk mengulangi, takut untuk mencintai, takut untuk jujur dengan diri sendiri. Hilang orang yang disayangi, hilang diri sendiri, hilang cinta ilahi. 

Perasaan. Satu benda yang kita tidak pernah lihat dengan mata kepala, tidak pernah bersua muka, tidak pernah menjelma. Tapi, ianya wujud, kehadirannya dirasai, kehangatannya diakui. Mempermainkan akal fikir normal manusia, mengawal segala dari sisi gelap.

Semoga tuhan permudahkan semuanya selepas ini.

No comments:

Post a Comment